Hari ini :
You are not log in? >> Please Login
Read On 0 comments

pandangan seorang abid



Tujuan Hidup !
Setiap insan mesti mengakui bahawa ia adalah seorang hamba Allah S.W.T. Allah menjadikannya untuk menyembah dan mengabdikan dirinya pada Allah. Hidup di dunia adalah sementara dan akhirat jua adalah matlamat terakhir dimana insan itu akan dihidupkan kembali untuk selama-lamanya. Hidup ini merupakan satu perjalanan sementara dimana setiap insan perlu menyediakan diri untuk mendapat kebahgiaan dan kesejahteraan diakhirat. Ini sebenarnya adalah tujuan hidup kita.
Kuatkan Iman !
Sebagai seorang yang beriman kita perlu percaya dengan sepenuh hati bahawa Allah S.W.T. telah menjadikan kita dan kita mesti percaya bahawa hari akhirat akan wujud, syorga neraka akan wujud. Kita mesti percaya bahawa malaikat malaikat wujud untuk menjalankan tugas dan urusan Allah dan kita percaya bahawa Allah menurunkan kitab Al Quran sebagai panduan hidup manusia dan Mohamad itu pesuruh Allah yang ditugaskan untuk menyebarkan segala ajaran dan suruhan Allah kepada manusia. Inilah asas asas keimanan seseorang.
Kita mesti percaya bahawa setiap perkara yang kita buat di dunia ini, walaupun sebesar biji sawi pun akan dikira samada buruk atau baiknya dan kita akan menerima balasannya di akhirat kelak. Kita mesti percaya bahawa hidup ini adalah sementara dan kita mesti mati di satu hari kelak. Apa yang kita pohon pada Allah yang kita akan mati dalam keadaan yang baik iaitu “Husnol khotimah” bukan dalam buruk “Suuil khotimah”.
Nilai Diri !
Dari masa kemasa kita meti melakukan apa yang digelar “Mu’asabah” atau menilai diri kita ataupun melihat ke dalam diri kita (self-appraisal). Kita mesti menilai diri kita dari berbagai sudut. Ada beberapa perkara yang sangat penting yang perlu kita perkirakan agar kita tidak menyeleweng atau tergelincir daripada landasan “Siraatul Mustaqim” atau jalan yang lurus yang Allah redhai. Setiap hari kita membaca Al Fatehah dalam sembahyang ataupun di luar sembahyang kita mohon pada Allah yang Maha Berkuasa, Maha Pengasih dan Penyayang agar kita diberi pertolongan, diberi hidayah dan petunjuk ke jalan lurus atau ke jalan yang Allah redhai semoga kita tidak disesatkan ataupun dimurkai Allah oleh sebab perbuatan kita.
Cepat Taubat !
Marilah kita imbas kembali apa yang telah kita lakukan di masa lepas. Kalau kita telah banyak membuat kesalahan, membuat kemungkaran samada kesilapan ini disengajakan atau tidak, samada di pamerkan atau disorokkan, besar atau kecil, kita mohon ampun dari Allah dengan taubat nasuha. Kita perlu bersyukur kerana telah diberi Allah satu nikmat besar iaitu nikmat Islam sebagai ugama kita. Kita yang dilahirkan Islam ataupun kafir sebelumnya dan kemudian diberi hidayah Allah untuk menjadi seorang Islam.
Kita sebagai seorang Islam sepatutnya kuat mengerjakan amal ibadah, mengerjakan yang baik dan jauhkan yang mungkar agar kita termasuk dalam gulongan orang orang yang beriman dan bertaqwa, menjadi orang yang sentiasa di restui dan di redhai Allah, serta dicucurkan dengan rahmat dan nikmat Allah ke demi untuk kebahgiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan seterusnya diakhirat.
Perjuangan Kita !
Sebagai seorang Islam, kita mempunyai tanggungjawab yang besar iaitu menegakkan Islam sebagai cara hidup. Kita perlu menegakkan Islam sebagai cara hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Kita juga perlu menegakkan Islam sebagai system pentadbiran dan pemerintahan negara kita. Inilah perjuangan kita, inilah jihad kita “fiisabilillah” untuk mendapat keredhaan dari Allah S.W.T. Kalau dulu kita perlu berperang untuk menegakkan Islam, sekarang tidak perlu kerana negara aman. Kita boleh berjuang atau berjihad “fiisabillah” dengan berbagai cara. Satunya cara dengan mengorbankan wang ringgit tetapi bagi mereka yang tidak mampu kita boleh mengorbankan tenaga dan kepakaran. Berjuang dan berdakwah untuk Islam adalah satu kewajipan kita semua. Sekurang-kurangnya kita berdakwah keapad orang orang sekeliling kita, ahli ahli keluarga kita, rakan rakan kita supaya kita menjadi orang Islam yang benar benar menghayati Islam dan mengamalkan amalan yang baik dan mencegah kemungkaran.


Dalam kehidupan kita ada beberapa perkara yang kita perlu nilai dan kaji dari masa kesemasa supaya objektif hidup kita benar benar memberi matlamat untuk kebahgiaan di dunia dan akhirat.

Pegangan dan amalan ugama
Ini adalah sangat penting khususnya bagi orang orang Islam untuk menentukan bahawa ia kuat imannya dan memahami ajaran Islam yang telah dibawa dan telah disebarkan oleh Rasulullah menerusi menerusi Al Quran dan sunnah Rasullullah. Kita mesti faham dan menghayati dan mengamalkan segala ajaran tersebut dengan keikhlasan hati agar segala amalan kita dan perbuatan kita mendapat keredhaan Allah. Dengan itu kita akan diberi ganjaran yang sewajarnya.
Kita perlu menilai kedudukan atau status keugamaan kita setiap hari. Janganlah kita menunggu satu perkara atau musibah berlaku barulah kita sedar betapa pentingnya pegangan kita kepada ugama Allah. Walau demikian jika ini yang boleh mengingatkan kita, maka itulah yang sebaiknya. Kadangkala kita leka akibat kemewahan dan kekayaan kita. Perlu diingat bahawa ini semua adalah sementara dan tidak akan kekal dan apabila kita mati, harta dan pangkat kita tidak akan kita bawa ke akhirat kelak. Hanyalah amalan kita, ilmu yang kita menafaatkan, sedekah jariah dan anak anak yang soleh yang boleh menolong kita di alam barzakh kelak.

Sumber rezeki yang halal
Kita perlu menilai pekerjaan kita yang memberi kita rezeki untuk menampong keperluan keluarga, keperluan diri dan lain lain. Kita perlu tentukan bahawa sumber sumber rezeki adalah halal. Apa yang penting dalam pekerjaan kita untuk mendapatkan rezeki ialah pekerjaan itu adalah mendapat keredhaan Allah S.W.T. iaitu kerja yang menafaat dan bukan kerja yang bersubahat dengan kemungkaran. Jauhkan riba, rasuah, perjudian dan lain2 hasil haram. Makan dan memberi makan keluarga dengan hasil atau rezeki yang haram akan menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka.
Tentang rezeki yang diberikah oleh Allah, kita mestilah ingat bahawa hanya sebahagian daripadanya adalah untuk kita menampong kehidupan kita dan keluarga dari segi makanan, pakaian dan tempat berteduh, dan sebahagiannya kita perlu simpan untuk masa hadapan, untuk perlindongan kita serta keluarga. Sebahgian yang lain untuk keperluan modal bagi perusahaan pertanian atau perindustrian manakala sebahagian yang lain lagi untuk menanggong dan menolong orang orang yang dhaif, fakir miskin, anak anak yatim, orang orang sakit, orang orang yang memerlukan bantuan akibat menanggong hutang. Kita juga perlu membantu mereka yang berjuang untuk menegakkan Islam, iaitu untuk berjihad “fiisabilillah”. Melaksanakan tanggungjawab untuk berzakat dan bersedekah adalah sangat penting dalam islam. Kita mesti agihkan serta menguruskan kewangan kita dengan bijak supaya mendapat keredhaan Allah.

Kehidupan berkeluarga
Kehidupan berkeluarga adalah sangat penting bagi setiap orang dan memang ajaran Islam menerusi Quran dan hadith menyeru kita supaya berkahwin dan mendirikan rumahtangga. Banyak pahala dan ganjaran yang diberikan kepada mereka yang berbuat demikian. Untuk membina satu keluarga yang bahagia dan berjaya dunia dan akhirat, kita perlu perancangan yang teliti dan teratur.
Suami isteri mesti berbekal dengan ilmu pengetahuan tentang Islam serta ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam caragaya keibubapaan demi untuk mendapat kebahagian dan kenikmatan hidup berumahtangga. Mendidik anak dan membesarkan anak, membentuk akhlak dan kesahsiannya perlulah dilakukan dengan garis panduan dan lunas lunas keislaman. Oleh itu ajaran asas bagi anak anak mestilah ajaran Al Quran, bukan sahaja setakat mengetahui bacaan dan tajwidnya, tetapi apa yang penting ialah untuk memahami isi kandongan Al Quran supaya kita dapat menghayatinya ajarannya sejak awal awal lagi.
Dengan ini kanak kanak yang membesar ke peringkat remaja dan dewasa mempunyai asas teguh sebagai disiplin diri mereka supaya mereka tidak jauh tergelincir atau menyeleweng daripada jalan atau arus hidup yang penuh dengan berbagai cabaran dan liku liku serta rintangan kehidupan.


Penjagaan Kesihatan
Penjagaan kesihatan adalah sangat penting untuk membolehkan kita membuat amal ibadah dan berusaha untuk mendapat rezeki yang halal. Setiap pagi kita bermula dengan berdoa dalam Qunut, dan ketika kita duduk diantara sujud kita juga berdoa untuk mendapat kesihatan, jasmani, rohani dan mental. Berdoa sahaja tidak mencukupi tetapi kita perlu menjaga kesihatan melalui garis panduan yang tertentu. Al Quran dan hadith ada memberi panduan tentang jagaan kesihatan, samada dari segi jagaan pemakanan, riadah ataupun lain lain perkara yang perlu dijaga demi untuk mendapat kesejahteraan dan kesihatan tubuh badan. Rasullullah banyak memberi panduan kepada kita tentang tabiat dan juga kandongan makanan yang baik untuk menjaga kesihatan.
Janganlah kita mengikut hawa nafsu dalam makan, kerana jika tidak terkawal makanan kita, salah satu perkara yang boleh timbul ialah kegemokan dan berbagai-bagai penyakit boleh timbul akibat daripada ketidakseimbangan pemakanan kita. Begitu juga kita mesti dapat ketenangan fikiran serta dapat menangkis stress atau tekanan mental dan fisikal akibat daripada pekerjaan, pergaulan ataupun sekitaran. Amal ibadah merupakan cara yang paling berkesan iaitu sembahyang, berpuasa, membaca Al Quran dan hubungan silatulrahim untuk menangkis keadaan stress ini. Stress atau tekanan mental dan fisikal ini telah dikaitkan oleh doctor perubatan sebagai menyebabkan seribu satu macam penyakit dan dengan amal ibadah, Insya Allah kita dapat mencegah penyakit penyakit tersebut.

Kerjaya dan profesyen.
Ini adalah satu bidang yang sangat penting dalam kehidupa kita. Setiap manusia mestilah mencari ilmu, meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam apa bidang sekali pun selagi ia diredhai Allah. Janganlah mencari satu profesyen ataupun kerjaya yang bersubahat kepada kemungkaran. .
Dalam bidang pekerjaan apa pun, yang penting ialah kita mendapat kepuasaan daripada pekerjaan tersebut, dan bukannya semata-mata kita mahu menerima bayaran atau upah sahaja. Jika kita membina kerjaya atau profesyen kita dengan ikhlas kerana Allah, dikerjakan dengan penuh minat dan dedikasi serta mengharapkan kepuasan mental dan rohani daripada hasilnya, Insya Allah kiat akan diberi rahmat dan mendapat keredhaan Allah.
Janganlah kita asyik fikirkan hasil kerjaya itu dari segi wang ringgit sahaja. Mengikut sejarah orang orang dahulu yang berjaya dalam bidang kepakaran dan perusahan atau perniagaan mereka, kita dapati mereka itu bekerja oleh sebab minat atau hobi mereka dan bukan didorong dengan ganjaran atau wang ringgit sahaja.
Sekarang ini saya dapati ramai dikalangan orang orang muda yang baru keluar daripada institut pengajian tinggi dengan ijazah kepakaran mereka mempunyai matlamat hidupnya yang agak lain daripada orang dahulu, iaitu mereka mahu cepat kaya dan mahu cepat naik pangkat. Tetapi tidak memikirkan tentang unsur unsur dedikasi, komitmen, keikhlasan dalam pekerjaan mereka. Ini adalah satu situasi yang sangat menyedihkan.








AMR – EL - FALAH

Amin Ahmad


Muqaddimah

AlhamduLillah. Segala puja dan puji saya persembahkan kepada yang Maha-Berkuasa. Selawat dan salam saya hebahkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. serta keluarganya dan para sahabatnya sekalian, seterusnya kepada para mujahidin, para syuhada’ yang terkorban di medan perjuangan suci menegakkan Kalimat Allah sekalian.

Assalamu Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh.

Setelah hampir tiga belas tahun saya menunggu kehadiran anak sulung saya; AlhamduLillah, akhirnya pada 21-Mac-2000 lahirlah seorang bayi lelaki yang bernama Amr-el-Falah.

Dia dilahirkan di tengah-tengah masyarakat yang sedang di ambang kebangkitan Islam. Malangnya, pada fajar kebangkitan Islam itu, di antara pejuang-pejuangnya, pada satu pihak terdapat kumpulan yang bersemangat waja akan tetapi pada hakikatnya mereka masih kabur tentang apa dia Islam, manakala pada pihak yang lain pula sudah mengerti intisari Islam akan tetapi mereka juga masih samar tentang bagaimana cara untuk mencapainya.

Keadaan ini membuatkan gerakan Islam lemah, malah sangat-sangat lemah. Tindak tanduknya tidak tepat pada sasarannya samaada sasaran jangka pendek mahupun sasaran jangka panjang, sedangkan perjuangan untuk menegakkan panji-panji Islam itu memerlukan kepada kekuatan ummah yang jitu.

Demi untuk melahirkan kekuatan ummah yang jitu itu, ia memerlukan kepada “Unity of Action” sedangkan “Unity of Action” itu lahir daripada “Unity of Command”. Begitu juga dengan “Unity of Command”, ia memerlukan kepada “Unity of Ideology Interpretation” sedangkan “Unity of Ideology Interpretation” itu lahir daripada “Unity of Ideology”.

Justeru itu, untuk melahirkan kekuatan ummah yang jitu itu tak dapat tidak ia pasti bertolak daripada Penyatuan Ideologi dan Penyatuan Methode Perjuangannya. Maka sebagai jawapan kepada situasi dan kondisi gerakan perjuangan Islam tersebut di atas tadi, saya ingin paparkan suatu konsep bentuk perjuangan yang dirumuskan kepada “Falsafah Amr-el-Falah”.
AMR
(Tindakan Asas - Key Strategic Actions)


Pada suatu ketika, sedang seorang guru berceramah tentang penggunaan masa, dia mengeluarkan satu balang kaca kosong berserta dengan beberapa biji batu sebesar genggaman tangan. Dia mengisikan balang kaca itu sehingga penuh dengan batu-batu tadi.

Dia senyum di samping mengeluarkan sejumlah pasir dan terus mengisikan balang kaca itu sehingga tiada lagi ruangnya.

Sekali lagi dia senyum di samping mengeluarkan sejumlah air dan terus mengisikan balang kaca itu dengan air sehingga ia betul-betul tiada ruang kosong lagi.

Sekarang dia memaling ke arah kami dan menanya: “Apakah pengajaran atau implikasinya?”

Kalau kita mengisikan balang kaca tadi dengan air atau pasir dahulu, bukan hanya tak dapat kita memasukkan batu-batu tadi kesemuanya, malah kita akan menghadapi beberapa kerumitan.

Begitu juga dengan hidup dan perjuangannya, kalau kita mengutamakan matlamat-matlamat kecil, bukan hanya tak dapat kita mencapai matlamat-matlamat asas malah kita akan menghadapi liku-liku kesulitan yang besar dalam usahanya.
FALAH
(Kejayaan)


Manusia diciptakan Tuhan dengan dua tujuan pokok:

A. Untuk mengabdikan dirinya hanya kepada Allah SWT. iaitu dengan berpegang teguh kepada:-

1. Tauhid Uluhiah (Tauhid Ibadah)

Menyembah, beribadat, meminta perlindungan dan kebahagiaan hanya kepada Allah SWT. yang merupakan kedaulatan mutlak (Absolute Sovereignty), dan tidak bersekutu denganNya. [“Dan Dia-lah Tuhan (yang disembah) di langit dan Tuhan (yang disembah) di bumi” (43:84)]

Tiada Tuhan selain Dia; bukan dewa-dewi, para malaikat, bukit-bukau, gunung-ganang, matahari bulan dan bintang, wang ringgit, segala isme-isme ideologi politik dan ekonomi ciptaan manusia, malah bukan juga pemerintah; tetapi Dia Allah yang hanya satu, yang Maha-Esa.

2. Tauhid Asma’ Wa Sifaat (Tauhid Nama dan Sifat)

Allah memiliki segala sifat dan nama yang sempurna dan terhindar daripada-Nya segala sifat yang tidak layak bagi-Nya.

Dengan pengetahuan dan penghayatan secara mendalam tentang sifat-sifat Allah SWT., manusia akan dapat membersihkan jiwa, roh, kepercayaan, moral dan tindak tanduknya; yang mana akan membawa kepada pembentukan keperibadian manusia yang mulia.

3. Tauhid Rububiah (Tauhid Perbuatan Allah)

a. Allah sahaja yang menciptakan alam ini, Allah yang menurunkan rezeki dan hujan, Allah yang memelihara dan mengatur seluruh alam, Allah yang menghidupkan dan mematikan. [“Dan Dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya” (25:2)]

b. Oleh kerana Allah adalah pencipta Alam Semesta termasuk manusia, maka Dialah yang paling mengetahui hakikat makhluknya. Oleh yang demikian, hukum-hukum dan peraturan-peraturan Allah jualah yang merupakan hukum yang paling baik, yang paling sesuai untuk makhluknya. Itulah dia Tauhid Hakimiah yang merupakan lanjutan daripada Tauhid Rububiah tadi. [“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah, Dia menerangkan yang sebenarnya dan Dia pemberi keputusan yang paling baik” (6:57)]

Justeru itu, adalah sangat tidak wajar manusia itu melaksanakan hukum-hukum dan undang-undang ciptaan manusia sendiri (undang-undang Thaghut) selain daripada Syariat (hukum-hukum dan peraturan- peraturan) yang telah ditetapkan Allah SWT. melalui Rasul-RasulNya. Tidakkah tindakan ini diumpamakan penyembahan patung atau berhala yang diciptakan oleh tangan kita sendiri? [“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” (5:44)]

B. Sebagai Khalifah Allah (Pengganti Allah) di muka bumi ini:-

1. Untuk memerdekakan manusia daripada segala ikatan dan halangan untuk beribadah hanya kepada Allah SWT., atau dalam ertikata lain untuk mengembalikan manusia kepada Fitrah Semulajadinya. Itulah dia Hak Asasi Manusia yang sejatinya. [“Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita, maupun anak-anak yang semuanya berdoa: {Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau}” (4:75)].

Ikatan dan halangan untuk manusia beribadah hanya kepada Allah SWT. itu terbahagi secara kasarnya kepada beberapa sumber di antaranya:

a. Diri sendiri
· kejahilan tentang Ilmu Tauhid samaada ia merupakan Tauhid Uluhiah, Tauhid Asma’ Wa Sifaat, maupun Tauhid Rububiah/Tauhid Hukumiah
· lemah jiwa dan raga
· dipermainkan oleh godaan syaitan

b. Sosio-Ekonomi
Manusia itu dalam belenggu kemelaratan dan kesengsaraan hidup, terpaksa mencari nafkah siang dan malam untuk keluarga dan dirinya sehingga tidak mempunyai masa yang selesa untuk beribadah kepada Allah SWT.

c. Sosio-Politik
Dengan penguatkuasaan pemerintah Taghut, manusia terpaksa mengikuti hukum-hukum dan peraturan-peraturan yang diciptakan oleh manusia selain daripada hukum-hukum dan peraturan-peraturan Allah SWT. Hukum-hukum dan peraturan-peraturan Taghut ciptaan manusia itu memang diciptakan untuk kepentingan yang menciptakannya atau yang memerintahnya, bukan untuk kepentingan manusia sejagat baik yang berupa jasmaniah mahupun rohaniahnya.

2. Untuk mengatur dan menggunapakai segala isi bumi ini bagi kemudahan dan kesenangan manusia itu sendiri.

Manusia itu zalim terhadap dirinya sendiri kerana kufur terhadap nikmat yang telah diberi Tuhan [14:34]. Manusia selalunya abai untuk menyelidiki ilmu yang telah diberikan Tuhan, ilmu yang berbentuk sunnatullah (Laws of Nature) dan merumuskan ilmu-ilmu itu serta menghayatinya sebagai pembangunan sains dan teknologi demi untuk kemudahan dan kesenangan manusia sejagat.

Manusia apabila dapat memenuhi Hak Asasinya atau dapat memerdekakan dirinya daripada segala cengkaman ikatan dan halangan untuk beribadah hanya kepada Allah SWT. di samping dapat mengeksploitasikan isi bumi ini dengan paling baik untuk kemudahan dan kesenangan hidup manusia sejagat, itulah apa yang dinamakan Tamaddun Sejati dan itulah Kejayaan Mutlak – FALAH.
AMR-EL-FALAH
(Tindakan Asas Untuk Kejayaan)


Islam adalah ad-Din atau cara hidup yang telah ditetapkan Allah SWT. untuk membawa manusia kepada landasan peradaban yang mencakupi kesejahteraan dan kemajuan yang sejati, yang sesuai dengan fitrah semulajadi manusia itu sendiri. Islam terbahagi kepada beberapa unsur seperti Aqidah, Syariat, dan Akhlak.

Setiap Rasul semenjak Adam as. sehingga Muhammad SAW., kesemuanya menyeru kepada suatu Aqidah yang sama walaupun masing-masing mempunyai Syariat yang berbeza. Aqidah yang sama itu merupakan asas kepercayaan dalam Islam yang terdiri daripada kepercayaan kepada Allah berserta dengan sifat-sifatNya, kepercayaan kepada Hari Akhirat, kepercayaan kepada para Rasul-RasulNya, kepercayaan kepada Kitab-KitabNya, kepercayaan kepada para MalaikatNya, dan kepercayaan kepada Qadha dan QadarNya. Sementara Syariatnya yang merupakan asas perundangan itu berlainan di antara satu sama lain supaya sesuai dengan ummat dan zamannya masing-masing.

Ad-Din yang sebati dengan fitrah semulajadi manusia, yang dibawa oleh Muhammad SAW. itu merupakan bentuk perjuangan yang menyeluruh yang merangkumi beberapa aspek, di antaranya:-

1. Perhubungan di antara manusia dengan Tuhan yang bertujuan supaya manusia itu sentiasa beriman, tidak mensyirikkan kepadaNya samaada dalam bentuk Tauhid Uluhiah mahupun Tauhid Rububiah.

2. Perhubungan di antara sesama manusia yang bertujuan supaya manusia itu sentiasa tolong menolong dalam perkara kebaikan dan cegah mencegah dalam perkara yang mungkar; dan supaya manusia itu sentiasa berlaku adil, tidak menindas atau menzalimi manusia yang lain.

3. Perhubungan di antara manusia dengan alam semesta yang bertujuan supaya manusia itu aktif maju jaya; tidak beku, mundur, dan sengsara. Manusia harus sentiasa mengeksploitasikan isi bumi atau kekayaan alam untuk membantu atau memudahkan kehidupannya.




Dalam usaha untuk merealisasikan ad-Din tersebut di atas, manusia perlu merobohkan atau menghancurkan saki baki kepercayaan dan sistem perundangan Thaghut (sistem perundangan selain daripada sistem perundangan Allah SWT) yang sediaada supaya dapat digantikan dengan kepercayaan dan sistem perundangan Allah SWT.

Justeru itu, tidak cukup dengan hanya kekuatan individu, akan tetapi ia memerlukan kepada kekuatan sosial malah kekuatan pemerintah. Sebab itulah untuk merealisasikan cita-cita Islam itu, tak boleh tidak pasti memerlukan kepada kekuasaan politik; atau dalam erti kata lain “Islam tidak boleh diceraikan daripada Politik dan Jihad”.

Politik ialah usaha dan tindak tanduk untuk mendapatkan kuasa. Politik Islam ialah usaha dan tindak tanduk bagi mendapatkan kuasa demi merealisasikan cita-cita untuk menegakkan ad-Din yang telah ditetapkan Allah SWT. melalui Rasul-RasulNya.

Di atas sebentar tadi telah saya huraikan tentang falsafah al-AMR dan falsafah al-FALAH. Manakala Garis-garis Perjuangan Menegakkan Panji-Panji Islam (AMR-EL-FALAH) telah saya paparkan dalam kertas kerja saya yang berjodol: “Asas, Strategi dan Taktik Perjuangan Menegakkan Kalimat Allah”.


Penutup


Setiap manusia teringin kepada syurga, akan tetapi tak seorangpun yang mahu mati. Malah, setiap manusia itu mahu menuntut hak ke syurga, akan tetapi tak seorangpun yang sanggup menunaikan kewajiban sepenuhnya; sedangkan tak akan adanya hak tanpa didahului dengan kewajibannya.

Mempunyai iman tetapi tidak diikuti dengan amalan adalah sama dengan iman Iblis. Ini disebabkan Iblis mengetahui akan keEsaan Allah dan tiada sekutu bagi-Nya. Iblis juga tahu bahawa ia akan kembali kepada Allah SWT. pada hari kebangkitan kelak. Tetapi kerana perintah Allah agar ia sujud kepada Adam tidak dilaksanakan, maka iman dan ma’rifatnya tentang ketuhanan itu sama sekali tidak dapat membantunya untuk bebas daripada kutukan dan laknat Allah SWT.

Justeru itu, marilah kita sama-sama melengkapkan iman kita dengan ketaqwaan sebagaimana yang telah dibimbing dan ditunjuk ajarkan oleh Rasullullah SAW.

Pada arus air yang deras, ikan selalunya memudik bercanggah arus. Ikan yang mengikuti arus air itu hanyalah ikan yang telah mati. Manusia harus berjuang menempuh segala rintangan dan halangan untuk memenuhi Hak Asasinya sebagaimana ikan yang bercanggah arus itu. Sesiapa yang membiarkan nasib dirinya dilanda peristiwa-peristiwa negatif adalah laksana ikan yang telah mati.

Sebagai penutup, saya ingin mengingatkan kepada para mujahidin sekalian bahawa:

Ÿ Cita-cita tak sesenang angan-angan.
Ÿ Kebenaran yang tidak mempunyai penyusunan yang lengkap dapat ditewaskan oleh kebathilan yang mempunyai penyusunan yang rapi.
Ÿ Jangan memperkecilkan tindakan tegas anda, kerana dalam suasana penyusunan yang matang, kesan “chain-reaction”nya mampu mengubahkan dunia.

Patah tumbuh, hilang berganti
Esa hilang, dua terbilang
Bujur lalu, melintang patah
Undur keji, mara terpuji.

Allahu Akbar..!
Allahu Akbar..!
Allahu Akbar..!
Read On 1 comments

Followers

 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008